29 December 2009

Perasmiaan IPG Kampus Tawau


SGM Lonjak Pendidikan Negara – UM 03/12/09
TAWAU 2 Dis. – Standard Guru Malaysia (SGM) yang diperkenalkan hari ini bakal melonjakkan sistem pendidikan negara ke taraf dunia yang mampu melahirkan modal insan dengan kelas pertama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sebagai kayu pengukur, SGM juga akan bertindak sebagai garis panduan dalam melahirkan guru berkeupayaan tinggi dalam semua bidang.
Beliau menegaskan, kerajaan sedar, sebagai aset utama dalam mana-mana sistem pendidikan, guru yang berkualiti akan mewujudkan sistem pendidikan dan insan berkualiti.
“Justeru kita perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru-guru yang dilahirkan adalah benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan SGM sempena perasmian Institut Pendidikan Guru Malaysia Tawau dekat Balung di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, berdasarkan standard itu, guru akan dipastikan mempunyai tahap amalan tinggi dalam tiga perkara utama.
Ia meliputi nilai profesionalisme perguruan, pengetahuan dalam subjek yang diajar dan kemahiran tinggi dalam teknik pengajaran dan pembelajaran.
“Hanya dengan memiliki ketiga-tiga komponen penting ini, guru-guru di negara kita dapat mencapai tahap kompetensi yang tinggi dan sekali gus melaksanakan tugas perguruan dengan berkesan,'' katanya.
Beliau menambah, penggunaan SGM akan menjadi asas mengukur kualiti dalam sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.
Dalam hubungan ini katanya, Malaysia negara pertama di Asia Tenggara yang telah menghasilkan piawaian guru secara khusus.
“Kita berharap dapat berkongsi standard ini dengan negara-negara lain di Asia Tenggara dan secara tidak langsung melonjakkan nama Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini,’’ katanya.
Sementara itu Alimudin berkata, selain guru, SGM turut memperincikan aspek-aspek yang perlu disedia, dilaksana dan dicapai oleh agensi serta institusi yang mengendalikan latihan perguruan.

No comments:

Post a Comment