29 December 2009

Perasmiaan IPG Kampus Tawau


SGM Lonjak Pendidikan Negara – UM 03/12/09
TAWAU 2 Dis. – Standard Guru Malaysia (SGM) yang diperkenalkan hari ini bakal melonjakkan sistem pendidikan negara ke taraf dunia yang mampu melahirkan modal insan dengan kelas pertama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sebagai kayu pengukur, SGM juga akan bertindak sebagai garis panduan dalam melahirkan guru berkeupayaan tinggi dalam semua bidang.
Beliau menegaskan, kerajaan sedar, sebagai aset utama dalam mana-mana sistem pendidikan, guru yang berkualiti akan mewujudkan sistem pendidikan dan insan berkualiti.
“Justeru kita perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru-guru yang dilahirkan adalah benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan SGM sempena perasmian Institut Pendidikan Guru Malaysia Tawau dekat Balung di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, berdasarkan standard itu, guru akan dipastikan mempunyai tahap amalan tinggi dalam tiga perkara utama.
Ia meliputi nilai profesionalisme perguruan, pengetahuan dalam subjek yang diajar dan kemahiran tinggi dalam teknik pengajaran dan pembelajaran.
“Hanya dengan memiliki ketiga-tiga komponen penting ini, guru-guru di negara kita dapat mencapai tahap kompetensi yang tinggi dan sekali gus melaksanakan tugas perguruan dengan berkesan,'' katanya.
Beliau menambah, penggunaan SGM akan menjadi asas mengukur kualiti dalam sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.
Dalam hubungan ini katanya, Malaysia negara pertama di Asia Tenggara yang telah menghasilkan piawaian guru secara khusus.
“Kita berharap dapat berkongsi standard ini dengan negara-negara lain di Asia Tenggara dan secara tidak langsung melonjakkan nama Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini,’’ katanya.
Sementara itu Alimudin berkata, selain guru, SGM turut memperincikan aspek-aspek yang perlu disedia, dilaksana dan dicapai oleh agensi serta institusi yang mengendalikan latihan perguruan.

20 October 2009

Kata-kata Pilihan


"... untuk cemerlang, guru perlu berfikiran global, bertindak secara sistematik dan efektif, menguasai bidangnya, mengamalkan etika profesion keguruan dan berpandangan jauh "

Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Hj Mohd. Dom (2008)

Kata-kata Pilihan


"We want teacher who are profesionals, can teach effectively, and are true educators"

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein (2005)

19 August 2009

INSTITUT PENDIDIKAN GURU


Institut Pendidikan Guru(IPG) ialah institusi latihan keguruan di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia dan dikawal selia oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG). BPG menentukan dasar manakala IPG akan melaksanakan latihan keguruan pra dan dalam perkhidmatan di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah atau apa-apa kelayakan lain yang ditetapkan. Pengaugerahan akan dilakukan oleh BPG.

Tujuan utama penubuhan IPGM ialah untuk memartabatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru-guru berkualiti, mahir, bertanggungjawab dan bangga menjadi pendidik serta mencapai sasaran semua guru berijazah di Sekolah Menengah dan 50% di sekolah rendah menjelang 2010.

17 August 2009

Program/Aktiviti Teaching School IPG Dato' Razali Ismail

Program / Aktiviti
4 – 15 Jan 2009 Transisi Tahun Satu
11 Jan 2009 Sambutan Maal Hijrah
18 Jan 2009 Perlantikan Pengawas Sekolah & Pusat Sumber
15– 19 Feb 2009 Minggu Bahasa
14 Mac 2009 Mesyuarat Agong PIBG
22 Mac 2009 Maulidur Rasul
11– 16 Apr 2009 Minggu Matematik
16 Mei 2009 Sambutan Hari Guru
8 Jun 2009 Tautan Kasih
8-12 Julai 2009 Minggu Sains
13-15 Nov 2009 Lawatan Bermaklumat

Jawatankuasa Kerja 'Teaching School' Peringkat IPG

JAWATANKUASA KERJA “TEACHING SCHOOL”

Penaung : Pengarah IPG
Penasihat : Timbalan Pengarah IPG
Pengerusi : Ketua Jabatan
Timbalan Pengerusi : Guru Besar
Penyelaras : Penyelaras “Teaching School”
Setiausaha 1 : Pensyarah IPG
Setiausaha 2 : Guru Penyelaras ‘Teaching School’
Ahli : Wakil Setiap Jabatan
Pensyarah Cemerlang
Wakil Sekolah
Pegawai Eksekutif Kanan

16 August 2009

Tujuan Kewujudan Teaching School di IPGM

Tujuan penubuhan 'teaching school' kepada :

1. Guru pelatih
Memberi pengalaman pengajaran-pembelajaran sebenar di bilik darjah secara hands-on.
Memberi pendedahan tentang profesion perguruan kepada guru pelatih
Melibatkan guru pelatih secara langsung dalam semua aktiviti sekolah agar mereka bersedia dengan keadaan tersebut selepas tamat latihan dan ditempatkan di sekolah nanti.

2. Pensyarah
Berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan guru-guru sekolah
Mengaplikasikan dan menguji segala teori/inovasi pengajaran-pembelajaran terkini
Pendedahan kepada pensyarah yang tidak pernah mengajar di sekolah rendah.

3. Guru Sekolah
Belajar pengalaman dan ilmu pengetahuan daripada pensyarah
Memperoleh bimbingan daripada pensyarah IPG

4. Murid
Mewujudkan suasana pembelajaran yang berbeza dari sekolah lain
Tenaga pengajar yang pelbagai- guru, pensyarah, guru pelatih
Pembentukan sikap kepimpinan melalui pelbagai kegiatan kurikulum dan ko-kurikulum

Model Teaching School di Institut Pendidikan Guru

2 Model pelaksanaan Teaching School telah diperkenalkan iaitu:
(i) Model A - Pembinaan kompleks Teaching School 12 bilik darjah dalam premis IPG bagi IPG yang mempunyai kawasan untuk didirikan bangunan sekolah.

(ii) Model B - Mengambil alih pengendalian pengajaran dan pembelajaran sebuah kelas di sekolah berhampiran IPG.

Setakat ini, hanya dua buah IPG yang menggunakan model A iaitu IP Kuala Terengganu dan IP Perlis. Sementara IPG lain, semuanya sudah mempunyai Teaching School masing-masing mengikut model B bermula pada sesi persekolahan 2008.

15 August 2009

Program Gimnastik di Teaching School IPGM Perlis


1.0 PENDAHULUAN
Sekolah yang cemerlang, sepatutnya tidak dilihat dari perspektif akademik sahaja kerana ia hanya menjurus kepada bidang intelek semata-mata. Jika ini menjadi ukuran sudah semestinya ia tidak menepati hasrat “Falsafah Pendidikan Kebangsaan” yang lebih mengutamakan empat bidang utama iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Justeru, untuk saling lengkap melengkapi kita harus memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dengan melibatkan empat fungsi utama FPK. Dari sini kita dapat melahirkan modal insan yang berjaya dan hebat dari segi sahsiah dan ketrampilan diri. Inilah yang sebenarnya menjadi teras kepada pemilihan program Gimnastik agar dimasukkan dalam aktiviti luar bilik darjah. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi tarikan kepada pelajar dan ibu bapa untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah sekolah pilihan yang hebat dan berwatak. Selain dari mewujudkan kecemerlangan dalam pembentukan intelek murid , pembinaan sahsiah juga turut berperanan sebagai satu “Trade Mark” kepada sekolah. Kita cuba melahirkan iklim pembelajaran yang kondusif dengan suasana yang menarik dan ceria agar kecemerlangan dapat berjalan seiring dengan pembinaan insan yang gemilang.

Sebagai sebuah sekolah dalam Institut, Pendidikan Guru tentunya faktor kebersihan ,keceriaan dan kecemerlangan akademik menjadi “Bench-Marking” kepada sekolah-sekolah di sekitarnya akan tetapi kita amat yakin bahawa program-program tambahan juga perlu dijalankan .Kita mengambil kesempatan yang ada di institut ini seperti kemudahan fizikal dan kelengkapan peralatan serta kepakaran yang ada tentunya banyak membantu kearah program-program yang dijalankan agar lebih berkesan. Apa yang penting ialah komitmen dan wawasan untuk menjadikan “Teaching School” ini menjadi kenyataan dan contoh kepada sistem pendidikan yang berjaya.

Tn. Hj. Kamarudin b. Ismail, PMP
Guru Besar
SK.Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis,
Jalan Behor Pulai, 01000 Kangar
Perlis

14 August 2009

Pembinaan Kompleks Teaching School di IPGM Perlis




Kerja-kerja pembinaan kompleks Teaching School di IPGM Kampus Perlis sedang rancak dijalankan. Dijangkakan akan siap pada akhir tahun ini (2009) dan mula digunakan pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Laporan Program Teaching School (PTS) 2009 IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN

1. Pengenalan

1.1 PTS di IPGM Kampus Tuanku Bainun mula bergerak pada Januari 2008 di sekolah yang berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Mengkuang. Pada peringkat awal hanya tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran sahaja.

1.2 Mesyuarat PTS 1, 2009 mencadangkan agar pelaksanaan diteruskan dengan menambah satu lagi kelas iaitu Kelas 1B dan Kelas 2B. Penglibatan juga bukan terhad dalam bidang akademik sahaja malah terlibat juga dalam bidang kokurikulum.

1.3 PTS menjalin hubungan kerjasama erat antara SK Mengkuang dengan IPGM Kampus Tuanku Bainun.

2. Jawatankuasa Teaching School, 2009

Penasihat : Pn. Hjh. Rohani Ismail
Pengerusi : Tn. Hj. Daud Md. Saman
Penyelaras : En. Abd. Rashid Ismail (KJ Ilmu Pendidikan)
Setiausaha : Dr Hjh. Siti Zabidah Mohamed
Bendahari : En. Mohd.Nazri Nordin

Ahli : GB SK Mengkuang
Semua Ketua Jabatan
Ketua Unit Peperiksaan & Penilaian
Ketua Unit Praktikum
Ketua Unit Kokurikulum
Ketua Unit Latihan Dalam Perkhidmatan
Ketua Pusat Sumber

3. Objektif dan Faedah

3.1 Menjadi showcase kecemerlangan pendidikan dalam semua aspek

3.2 Menyediakan pengalaman klinikal yang perlu kepada bakal guru sebagai
pemudah cara pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

3.3 Memperkukuhkan pengetahuan dan amalan pengajaran pembelajaran,
inkuiri serta penilaian di bilik darjah dalam kalangan pensyarah

3.4 Menjadi pusat R & D, kreativiti dan inovasi dalam amalan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah.

3.5 Menambah pengetahuan dan pengalaman guru pelatih terhadap suasana dan amalan di sekolah selain pengalaman semasa mengikuti praktikum yang diwajibkan

3.6 Memantapkan smart partnership antara IPG, sekolah, PPD dan JPN.

4. Model Teaching School

4.1 Model PTS yang digunakan ialah Model 2. Model ini melibatkan
kolaborasi pengendalian pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan
kokurikulum.

5. Pelaksanaan PTS

5.1 Pengajaran & Pembelajaran
Pengajaran & Pembelajaran bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni, Matematik dan Sains. Interaksi diadakan setiap minggu selama satu jam bagi setiap subjek sepanjang tahun. Seramai sepuluh orang pensyarah terlibat mengajar di kelas Tahun Satu B dan Tahun Dua B.

5.2 Klinik Kriket Kancil
Dijalankan pada waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tahun Satu B dan Tahun Dua B dua minggu sekali pada semester satu. Klinik kriket kancil ini juga bersambung pada sebelah petang (waktu kokurikulum). Murid lelaki diajar kemahiran menangkap, melontar, membaling dan memukul bola bagi tujuan menguasai kemahiran asas dalam kriket kancil. Tiga orang pensyarah dari Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dibantu oleh guru pelatih major serta guru sekolah turut terlibat.

5.3 Perkhemahan Unit Beruniform
Seramai 20 orang guru pelatih terlibat menjadi fasilitator membantu mengurus dan melaksanakan aktiviti Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform Sekolah pada 21 hingga 23 Mei 2009 di Padang IPGM Kampus Tuanku Bainun.

5.4 Sukan Tahunan Sekolah
Seramai 40 orang guru pelatih major PJK terlibat membantu menjayakan Sukan Tahunan 2009 yang diadakan di Padang IPGM Kampus Tuanku Bainun pada 20 Februari 2009. Fokus utama ialah tentang pengurusan sukan.

5.5 Prep Group
Seramai l5 orang guru pelatih yang tinggal berhampiran dengan kawasan sekolah diagihkan mengikut kumpulan dan membantu murid sekolah menyiapkan kerja rumah dan menyelesaikan masalah pembelajaran. Aktiviti ini dijalankan sekali seminggu iaitu pada setiap Sabtu.

6. Kronologi Pelaksanaan Teaching School, 2009

6.1 Mesyuarat Pasukan Pelaksanaan PTS diadakan pada 10 Feb. 2009 di Bilik Persidangan IPGM Kampus Tuanku Bainun (selepas Program Transisi Tahun Satu dan Ujian Penapisan Satu).

6.2 Mesyuarat dengan pihak sekolah telah diadakan pada 17 Feb. 2009 di Bilik Mesyuarat Pusat Kegiatan Guru Mengkuang untuk berbincang dan menyelaraskan pelakasanaan PTS.

6.3 Pelaksanaan PTS telah bermula pada minggu akhir Februari 2009 (27 Feb. 2009).

6.4 Pelaksanaan PTS tertangguh buat sementara waktu kerana kerja-kerja pengubahsuaian bilik darjah sedang berjalan. Pihak SK Mengkuang meneruskan P&P mengikut jadual.

7. Pemantauan

7.1 Pihak IPGM Kampus Tuanku Bainun melaksanakan pemantauan PTS di SK Mengkuang melalui penyemakan Buku Rekod Aktiviti PTS untuk mengenal pasti kekerapan interaksi dan aktiviti serta kolaborasi yang diamalkan. Pada Semester 1, 2009 pemantauan dilaksanakan pada 7 Mei 2009.

8. Penutup

PTS meneruskan usaha demi mencapai objektif dan matlamat yang dihasratkan walaupun terdapat banyak kekangan terutama daripada pihak IPGM Kampus Tuanku Bainun khususnya pergerakan pensyarah.

Disediakan Oleh:

Setiausaha Program Teaching School
IPGM Kampus Tuanku Bainun
14400 Bukit Mertajam.

PROGRAM TEACHING SCHOOL DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU

Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan (JPP) ke 165 bertarikh 17 Julai 2002 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pendidikan telah bersetuju dengan cadangan diwujudkan Teaching School di bawah pengurusan IPG yang boleh dijadikan Wadah Negara ( showcase) untuk kecemerlangan pendidikan dalam semua aspek pengurusan sekolah dan bilik darjah, pengamalan teori-teori, inovasi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Sehubungan itu, setiap IPG telahpun mempunyai Teaching School, sama ada mengikut Model A ataupun Model B. Setakat ini, hanya dua buah IPG sahaja yang telah menggunakan model A iaitu mempunyai kompleks sekolah dalam kawasan IPG, iaitu Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis.